By nighthood, 3 Oktober 2011.

Tanda-tanda Ajal Semakin Dekat
by N**** ********* on Saturday, 01 October 2011 at 01:39

Tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulullah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratul maut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali, cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya, iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut.Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang tinggal untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Wallahualam.Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan saya sendiri.
Thanks to A*** ***

Pendahuluan

Assalamualaikum sahabatku, saudara N. Aku sebenarnya agak berdukacita berkenaan artikel yang saudara post di wall laman Facebook, tajuknya “Tanda – Tanda Ajal semakin Dekat”. Saudara N yang aku kenal suatu masa dahulu adalah seorang yang dapat menerima teguran, seorang yang aku boleh berkongsi hampir segalanya, jadi aku berharap semoga orang yang kukenal ini belum berubah. Santailah, semua orang pernah melakukan kesilapan. Artikel teguran ini ditujukan kepada aku sendiri dan kepada saudara bila berkenan. Jadi silalah dibaca dalam keadaan santai tapi serius.

Aku cuba mengerti yang saudara mungkin sibuk, jadi summary atau akar kepada yang semua permasalahan ini adalah, jika hendak menghubungkan apapun berkaitan agama, Islam khususnya, diharapkan dapatlah cek betul-betul dulu kebenaran suatu benda itu, dari mana asalnya. Atau untuk lebih jelas dalam isu yang cuba kita ketengahkan ini, pendek kata aku sangatlah ragu dengan kesahihan artikel “Tanda – Tanda Ajal semakin Dekat” itu.

Aku bagikan isu ini kepada 4 bab:

  • Membela Islam, tanggungjawab dan disiplin.
  • Kritikan mengenai tanda ajal semakin dekat.
  • Jadilah Ulul Albab.
  • Ahli sunnah dalam mengkritik.

I. Membela Islam, Tanggungjawab dan Disiplin

Cuba kita bayangkan satu skenario untuk mudah difahami. Contohnya, pada suatu hari saudara sakit perut yang teruk. Kebetulan pada waktu itu semua doktor sibuk, tak dapat melayani saudara. Apakah saudara memilih untuk cek penyakit saudara apa dalam blog orang biasa (yang saudara tidak tahu hujung pangkalnya i.e. tanya tok Google) atau saudara cari laman web ilmiah yang betul-betul disahkan oleh World Health Organization (sebagai contoh)? Sudah pasti saudara ambil dari yang sudah disahkan, sebab ini melibatkan hidup dan mati manusia, betul tak? Hal yang sama juga patut kita amalkan pada perkara-perkara yang melibatkan agama. Malah aku katakan urusan agama lebih penting lagi, kerana masalah kesihatan hanya berkaitan hidup atau mati, tapi agama melibatkan syurga atau neraka, urusan setelah mati yang lebih panjang.

Di sini aku cuba ketengahkan beberapa bukti dari al-Quran dan hadis sahih:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan–perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan menceroboh tanpa alasan yang benar. (Diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui” (Surah al A’raf: ayat 33).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini pula mengenai israiliyat, take note ayat-ayat yang aku boldkan:

“Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latarbelakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan-panduan yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.

Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah-kisah umat yang lalu. Mereka sepatutnya mengambil faedah dari method al-Quran dalam melihat dan menghuraikan kisah-kisah tersebut. Mereka sepatutnya menumpukan kepada inti panduan dan pengajaran. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia yang bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Barangkali boleh memberikan mereka ilmu yang dipercayai dalam hal ini. Malangnya mereka mencari dari sumber yang yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil dari manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi)..”. (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85, Jordan: Maktabah al-Manar).

Dan ini pula rujukan yang aku ambil dari buku yang aku sedang baca sekarang:

In contrast to this, the Christian revelation is based on numerous indirect human accounts. We do not in fact have an eye witness account from the life of Jesus, contrary to what many Christians imagine. (Maurice Bucaille. Introduction; The Bible, The Quran and Science, 2006, page iv).

Kita selalu katakan, Kristian sumbernya tidak dapat dipercayai etc, kalau kita pun tidak teliti, bukankah kita menempatkan diri kita ke tempat tang sama seperti mereka?

Ini pula dari tulisan Dr. Asri Zainul Abidin:

Islam adalah agama yang bina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran yang agung Islam adalah al-Quran dan al-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini.

Islam adalah agama Allah yang Maha Mencipta Lagi Maha Mengetahui. Justeru itu, mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta yang benar dan hakikat ilmiah. Apa sahaja pendapat yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil dari al-Quran atau al-Sunnah, maka ianya bukan ajaran Islam sekalipun yang memberikan pendapat itu menyangkut kan pada dirinya berbagai gelaran agama, atau memakai bermacam pakaian yang dikaitkan dengan agama. Demikian juga, apa sahaja pandangan yang dikaitkan dengan Islam jika terbukti secara realitinya bercanggah dengan hakikat alam atau fakta sains yang pasti, atau kemaslahatan hakiki insan secara nyata maka ianya juga bukan dari ajaran Islam sama sekali. (Mohd Asri ZA. Ikut Dalil dan Fakta, Buang Taklid Buta: Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, 2008, hal.1)

Kesimpulan untuk bab ini, jom teliti dalam mencari sumber. Siapa tahu yang kita ambil adalah hadis palsu, cerita dongeng, atau israiliyat. Implikasi berat pada diri kita sendiri, mungkin ada yang teraniaya dan malah boleh menjatuhkan agama. Kita wajib membela islam, tapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan disiplin yang tinggi. Ini semua orang pasti sepakat.

II. Kritikan mengenai Tanda – Tanda Ajal Semakin Dekat.

Seperti yang sudah kita bahas di atas, kita boleh lihat bahawa agama kita tidaklah terlalu men‘detail’kan/merincikan ajarannya. Merujuk kepada artikel saudara, dikatakan tanda 100, 40, 7, 3 hari dan tanda akhir. Are u really sure? As in the details, terlalu tepat harinya, selepas Asar pula? Kalau ada orang mendapatkan tanda 100 hari, tapi pada hari ke 99 atau hari ke 101 macam mana? Orang awam sekarang sangatlah kritis dalam berfikir. Kalau kita mengambil sembarangan semua yang kita dengar atau dapat, tanpa berfikir (melihat, mendengar dan mentafsir), kemudian mengaitkan pula dengan agama kita, susahlah para ulama’ kita hendak jawab jika penganut agama lain (termasuk yang tiada agama) bertanya atau pertikaikan kepercayaan kita tersebut. Tidak tahu mana lagi mereka hendak rujuk, sebab hal tersebut tidak ada dalam sumber-sumber agama yang mereka pegang.
Sekarang, jom kita lihat, dengar dan tafsir contain atau isi artikel tulisan saudara pula (Aku terima tulisan tersebut sebagai tulisan peribadi sebab tidak dimasukkan sumbernya). Untuk pengetahuan saudara, aku belajar medic lebih 5 tahun, tanda-tanda menjelang ajal atau tanda-tanda emergency sepatutnya aku tahu paling tidak sebahagian dari tanda-tanda yang saudara dikemukakan. Kalaulah dikatakan tanda kematian itu sebagai menggigil dari hujung rambut ke hujung jari kaki, hal tersebut dapat juga disebabkan dia demam atau kesejukan. Karakteristik demam menggigil, ditambah anemia (kurang darah), dan hepatomegaly (hati membesar), ditambah lagi kalau patient duduk di rumah berdekatan pantai, bahkan menjurus ke arah malaria fever. Aku teringat waktu belajar di sekolah dulu, pagi-pagi aku bangun sejuk, dan aku rasa menggigil hujung rambut ke hujung jari kaki. Bukan 100 hari, sudah beratus-ratus hari setelah kejadian itu dan sehingga kini alhamdulillah aku masih hidup, dan kelakarnya waktu menggigil tersebut aku tidaklah sakit apa-apa pun. Maaflah jauh menyimpang. Ringkasnya, menggigil bukan suatu tanda yang spesifik, terlalu banyak differential diagnosis hanya untuk orang menggigil.

Seterusnya, rujukan yang diambil oleh penulis artikel adalah Imam Ghazali rahimahullah. Aku yakin Imam Ghazali adalah ulama’ yang banyak kontribusi kepada umat Islam. Namun, (kalau benar dia yang menyatakan penelitian tentang tanda-tanda kematian), dalam sepengetahuan aku beliau bukanlah seorang doktor atau health researcher. Dalam konteks sign and symptom, orang awam belum tentu dapat bezakan. Sebagai perumpamaan untuk lebih mudah faham, ada seorang ulama’, bukan engineer, mengatakan yang dia berjaya mencipta sendiri sebuah kapal terbang, dan dia mendakwa pernah mengendali sendiri kapal terbang tersebut naik ke atas udara beberapa ribu kaki dari paras laut, walaupun cuma sekali (perumpamaan untuk meninggal yang hanya sekali juga), dan dia tidak dapat mengemukakan saksi lain, hanya dirinya sendiri yang tahu. Kemudian, dia mempelawa saudara untuk terbang sekali dengan dia. Mahu saudara ikut naik? Sudah tentu tidak. Mungkin saudara juga aware, hasil suatu penelitian itu bukanlah diteliti pada satu orang/subjek saja, dan biasanya mengambil masa bertahun-tahun dan melibatkan jumlah subjek yang banyak sehingga dapat menggambarkan suatu populasi itu sendiri. Kalau betul beliau dapat merasakan tanda-tanda itu tadi, sangatlah mungkin itu hanya sebuah kebetulan.

Kesimpulan untuk bab ini, untuk mengetahui patient itu emergency atau tidak, (atau berpotensi mati), secara teori hanya semudah ABC (airway, breathing and circulation). Detailnya mungkin kita dapat diskusikan lagi nanti.

III. Jadilah Ulul Albab

Izinkan sekali lagi aku memetik tulisan dari buku Dr. Asri Zainul Abidin:

Istilah Ulul Albab adalah istilah yang dipelopori oleh al-Quran al-Karim. Ia bukan cetusan idea mana-mana tokoh ulama, atau penceramah motivasi atau pemimpin politik.

Perkataan ‘ulul albab’ disebut dalam al-Quran sebanyak enam belas kali. Ahli-ahli tafsir hampir keseluruhan bersepakat bahawa perkataan Ulul Albab yang digunakan oleh al-Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (Surah al-Zumar: ayat 17-18).

Maka tidak termasuk dalam golongan Ulul Albab mereka yang menelan apa sahaja berita yang didengar dan khabar yang disampaikan tanpa mampu membuat penilaian yang baik. Bukan dari golongan Ulul Albab masyarakat yang dipenuhi dengan berita palsu, khabar angin, fitnah mengfitnah dan segala keburukan yang lain. Juga bukan Ulul Albab masyarakat yang menelan apa sahaja khabar yang termuat dalam media dan internet tanpa mampu membuat penilaian yang betul.

Bahkan saya kata; tidak menjadi Ulul Albab mereka yang mendengar ceramah di masjid atau surau jika menelan semua yang diceramahkan itu tanpa menilai dengan nilaian yang betul dan matang. Bukan sedikit juga pandangan atau pendapat yang dibuat atas nama agama atau oleh orang yang bergelar agama tetapi tidak menepati agama.(Mohd Asri ZA, Ulul Albab dalam al – Quran, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, hlm. 370 – 372 (2008)).

Oleh yang demikian, dalam rangka menjadi golongan Ulul Albab, aku pun wajib bersikap adil terhadap saudara yang kukasihi ini. Mungkin saja artikel tanda ajal yang saudara post itu betul. Siapa tahu kan? Miracles are possible. Mungkin saja ada sumber hadisnya yang telah dipotong, yang menjadi sedikit aneh bila kita bukanlah pakar dalam menulis potongan-potongan hadis. Kalau betullah dapat dicari sumber yang boleh dipercayai (hadis-hadis terpotong tersebut), tinggal ditambahkan saja sumber rujukan dari mana hadis tersebut diambil untuk dimasukkan ke wall saudara.Buat masa ini, untuk kebaikan bersama saya sarankan delete dulu post tersebut.

IV. Ahli Sunnah dalam Mengkritik

Saudaraku yang dikasihi, semoga Allah mengampuni saudara dan diriku yang lemah ini. Aku khawatir teguran ini agak keras atau mungkin ada bahasa yang tidak tepat dek kerana kelemahan diri ini. Aku pernah membaca beberapa petikan kata-kata ulama’ ahli sunnah dalam mengkritik tulisan tokoh-tokoh yang lain. Salah-satunya yang memikat hati adalah:
Kata sarjana hadis dan sejarawan Islam yang agung, al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H):

Aku katakan: “Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang ‘alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan” (Siyar Alam al-Nubala 19/339, Beirut : Muassasah al-Risalah).

Kemudian Al-Zahabi mengulas lagi:

“Adapun kitab al-Ihya’ padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil (tidak sahih). Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339).

Cantik kan bahasa yang digunakan ulama’ dalam mengkritik. Sejujurnya, aku juga cuba untuk mengaplikasikan teknik-teknik mengkritik dengan bahasa yang jelas, mudah difahami dan tidak sampai membuat saudara berkecil hati pada tulisan ini. Dan aku juga menghabiskan banyak masa untuk permasalahan ini, tidak dapat keuntungan apapun secara material. Namun kalau ada kesalahan yang tidak kusedari, sebelumnya aku minta maaf sangat-sangat. I’ll be waiting for your feedback, kita boleh discuss lagi nanti, insyaAllah.

Berbeza bukanlah bererti menghina, anggaplah ini sebagai pembuka minda untuk berfikir. Apapun, at least it shows you how much I care.
Assalamualaikum and take care.